1. Teknik Menganalisis Soalan Karangan:
1.1 Baca ketiga-tiga soalan dengan teliti, kemudian pilih satu soalan.
1.2 Baca soalan yang dipilih dengan teliti. Kemudian gariskan kata-kata kunci:
Tema (T) / Kehendak Soalan (KS) / Format Karangan (F) /Kepanjangan Karangan (P)
Contoh:
Penggunaan telefon bimbit dalam kalangan masyarakat semakin meluas.
Huraikan kebaikan-kebaikan penggunaan telefon bimbit.
Tema : PenggunaanTelefon Bimbit
Kehendak soalan : Kebaikan Penggunaan
Format Karangan : Karangan Fakta
2. Teknik Menulis Rangka Karangan:
2.1 Teknik Menulis Perenggan Pendahuluan.
Ayat Topik | Penggunaan telefon bimbit sangat meluas secara global |
Ayat Huraian | Fungsinya semakin hari semakin canggih |
Ayat Contoh | melayari internet, mendengar muzik,kamera |
Ayat Rumus | Banyak membawa kebaikan |
Pada zaman digital ini, penggunaan telefon bimbit sangat meluas secara global bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Telefon bimbit bukan lagi sebagai alat perhubungan malah mempunyai pelbagai fungsi yang semakin hari semakin canggih. Antaranya, kita boleh melayari internet, mendengar muzik,kamera dan sebagainya. Hal ini banyak membawa kebaikan kepada masyarakat zaman sekarang.
2.2 Teknik Menulis Perenggan Isi.
a. Senaraikan isi-isi yang berkaitan dengan kehendak soalan.
1. memudahkan komunikasi antara manusia
2. mengurangkan membeli peralatan kamera
3. meluaskan pengetahuan –internet
4. menghiburkan hati
b. Kembangkan setiap isi yang telah anda senaraikan dan pastikan huraian isi tidak bercampur aduk. Tulis 1 isi dalam 1 perenggan.
c. Rangka Perenggan Isi (1):
Ayat Topik | Memudahkan komunikasi antara manusia |
Ayat Huraian | Boleh menghubungi seseorang pada bila-bila masapun dan di mana-manapun kita berada. |
Ayat Contoh | Boleh menggunakan kemudahan ‘sms’, watsapp, telegram, viber kosnya kurang daripada telefon biasa |
Ayat Rumus | Sistem komunikasi manusia mudah dan berkesan |
Antara kebaikannya, penggunaan telefon bimbit memudahkan komunikasi antara manusia. Kita boleh menghubungi seseorang pada bila-bila masa dan di mana-manapun kita berada. Hal ini demikian kerana telefon bimbit mempunyai kemudahan seperti ‘sms’, ’mms’, ‘watsapp’, telegram,viber dan sebagainya. Tambahan pula kos penggunaannya juga kurang berbanding dengan telefon biasa. Natijahnya, sistem komunikasi manusia sangat mudah dan berkesan.
2.3 Teknik Menulis Perenggan Penutup
Ayat Topik | Berfaedah kepada sesiapa sahaja |
Ayat Huraian | Telefon bimbit dianggap sebagai keperluan berisiko |
Ayat Contoh | Satu keperluan yang tidak boleh diabaikan |
Ayat Rumus | Bijak menggunakannya - agar tidak membawa kemudaratan |
Izharnya, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan masyarakat sangat berfaedah kepada sesiapa sahaja. Namun begitu, semakin tinggi teknologi maklumat berkembang, semakin berisiko nyawa manusia di ambang kemajuan era globalisasi. Telefon bimbit sudah dianggap sebagai barangan yang dikategorikan sebagai keperluan yang berisiko. Walau bagaimanapun, telefon bimbit dianggap satu keperluan yang tidak boleh diabaikan. Oleh itu, kita perlu bijak menggunakan telefon bimbit agar tidak membawa kemudaratan.